Dang Sa Media Blog

Kenapa Hasilkan Siri Panduan Belajar Gitar?

siri-panduan-belajar-gitar-tahap1

siri-panduan-belajar-gitar-tahap2Persoalan ini sering timbul ketika saya dalam proses menulis buku belajar gitar ini beberapa tahun lepas. Hal ini juga sering dipersoalkan oleh sesetengah pihak seperti mempertikaikan siapa saya sehingga mampu menghasilkan buku seperti ini.

Secara umumnya, saya bukanlah sesorang yang ternama, hebat dan dikenali. Saya cuma seorang manusia biasa yang sangat meminati muzik. Saya suka berbicara tentang apa yang saya minat dengan orang lain, apatah lagi jika minat seseorang itu sama dengan minat saya.

Jadi, kali ini saya ingin memberi sedikit jawapan kepada persoalan di atas moga-moga apa yang ditulis ini dapat memberi sedikit input kepada anda.

 

1. Untuk Berkongsi Minat & Pengalaman

Saya mula belajar bermain gitar kira-kira 12 tahun yang lalu. Bermula dengan membeli gitar tanpa mengetahui satu pun chord gitar sehingga saya mampu menjadi seorang tutor gitar. Terlalu banyak pengalaman yang saya perolehi sepanjang tempoh itu dan ini adalah salah satu cara untuk saya berkongsi pengetahuan yang saya ada. Saya mula belajar bermain gitar secara bersendirian tanpa ada tutor atapun mereka yang tahu bermain gitar. Jadi saya memahami bagaimana sukar untuk belajar tanpa ada sumber pembelajaran. Apatah lagi ketika itu sumber pembelajaran gitar hanya terdapat dalam Bahasa Inggeris. Sehingga kini juga, saya melihat masih kurang sumber-sumber pembelajaran tentang gitar yang dihasilkan dalam Bahasa Melayu. Selain itu, sepanjang penglibatan saya, ramai dikalangan sahabat-sahabat saya dahulu kurang mengetahui tentang teori permain gitar dan mengganggap ia adalah sesuatu yang sukar. Jadi saya mengambil inisiatif ini untuk mempermudahkan pemahaman tentang teori-teori permainan gitar melalui penyampaian dalam Bahasa Melayu. Kandungan dalam buku ini juga bukan sahaja tentang teori semata-mata, ia juga menceritakan pengalaman. Pengalaman saya belajar tentang bagaimana untuk belajar dengan betul, bagaimana untuk melakukan praktis, bagaimana untuk cepat mahir dan lain-lain lagi. Jika diceritakan tentang pengalaman, terlalu banyak untuk saya kongsikan termasuk berkerja di studio untuk belajar tentang alat muzik, bunyi alat muzik, rakaman muzik dan lain-lain. Diringkaskan, saya minat bidang ini walaupun tidak secara langsung, saya ingin menjadi salah seorang yang menyokong newbie untuk belajar bermain gitar. Jadi, Siri Panduan Belajar Gitar adalah satu cara untuk saya memberi galakan kepada mereka.

2. Kerana Komitment Hidup

Jika anda kenal siapa saya, saya bukanlah seorang pemuzik dan tutor gitar sepenuh masa. Mungkin dulu saya sangat aktif bermain muzik, bekerja di studio dan juga menjadi tutor gitar. Tetapi keadaan sudah berubah, komitment hidup juga kian bertambah dan tanggung jawab yang lain harus diutamakan. Namun, saya tidak mahu tinggalkan segala apa yang pernah saya pelajari suatu ketika dulu. Segala wang, masa dan kemahiran yang saya ada, saya tidak mahu ia berlalu dengan sia-sia. Masih ramai newbie-newbie yang ingin belajar bermain gitar dan mengharapkan perkongsian ilmu dari mereka yang lebih berpengalaman sama seperti saya waktu mula-mula ingin belajar bermain gitar dahulu. Saya cukup memahami bagaimana kesukaran seorang newbie untuk belajar bermain gitar tanpa mempunyai sumber pembelajaran yang betul untuk diikuti. Jadi, sekiranya suatu hari nanti saya tidak lagi aktif melibatkan diri dalam bidang muzik ini, sekurang-kurangnya buku yang saya hasilkan ini terus menjadi salah satu sumber pembelajaran untuk mereka yang ingin belajar bermain gitar. Saya juga dapat terus berkongsi pengetahuan yang saya ada walaupun secara tidak langsung. Buku ini akan menjadi satu asset penting untuk saya dan generasi akan datang. Belajar tanpa ilmu adalah sangat sukar, gunakan panduan ini dengan sebaik-baiknya dan saya akan cuba membantu jika anda memerlukan.

3. Untuk Kekalkan Pengetahuan

Saya juga manusia biasa yang mudah terlupa, serba kekurangan dan perlukan kepada peringatan. Dengan adanya Siri Panduan Belajar Gitar ini, mereka yang belajar melalui buku ini pasti akan bertanya sekiranya ada perkara yang kurang difahami. Melalui soalan-soalan yang diajukan, saya dapat megingati kembali apa yang pernah saya pelajari. Cara ini juga dapat memperkenalkan saya dengan ramai lagi pemain-pemain gitar sama ada baru atau lama. Secara tidak langsung saya dapat berkongsi juga dengan mereka tentang perkara lain yang mungkin saya sudah lupa atau belum  ketahui. Berkongsi tentang sesuatu yang saya minat adalah sesuatu yang menyeronokkan. Tidak semestinya saya mempunyai pengalaman, saya tahu segala-galanya. Perkara ini juga ada saya terangkan dalam buku Siri Panduan Belajar Gitar – Blueprint. Sama-samalah berkongsi pengetahuan  yang kita ada untuk kita sentiasa faham dan ingat tentang perkara yang pernah kita pelajari.

Secara keseluruhannya, ini sahaja yang dapat saya tulis secara ringkas untuk menerangkan kepada anda tentang ‘Kenapa Hasilkan Siri Panduan Belajar Gitar?”. Konsep yang saya cuba ketengahkan disini ialah tentang PERKONGSIAN ILMU. Apa yang saya hasilkan bukanlah tujuan untuk mengajar semata-mata, tetapi untuk berkongsi sekadar apa yang saya tahu, dan anda juga dapat berkongsi tentang apa yang anda tahu. Saya harap apa yang saya hasilkan ini akan mendapat sokongan dari rakan-rakan sehobi saya dan sesiapa sahaja yang melawat blog saya ini. Semoga ia mampu mengisi sebahagian slot dalam industri muzik hari ini untuk membentuk dan melahirkan pemain-pemain gitar baru di masa akan datang.

Saya hasilkan kerana minat, jika anda juga mempunyai minat seperti saya. Ayuh kita sama-sama berkongsi minat kita dan gembira bersama-sama. Let’s Share & Enjoy..!!!

Share with friends   

Written by

The author did not add any Information to his profile yet